ISU BANJIR: 75 INDIVIDU DIKOMPAUN ATAS KESALAHAN TIDAK PATUHI SOP DAN BERMAIN AIR BANJIR




 RANTAU PANJANG: Pihak Polis negeri Kelantan mengenakan kompaun kepada 75 individu disebabkan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan terlibat dengan aktiviti berkaitan banjir. 

Kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat, kesemua individu dikompaun dalam tempoh seminggu atas kesalahan membahayakan diri dengan bermain air banjir dan melihat air banjir.
"Saya telah arahkan pasukan polis mengambil tindakan kompaun. Tak ada lagi amaran. Maknanya, kalau kereta peronda keluar, tiada lagi amaran seperti sebelum ini.
"Kita telah lengkapkan pegawai untuk ambil tindakan. Dan untuk minggu ini sahaja, 75 sudah kita keluarkan. Jadi, keseluruhannya, lebih 2,000 telah dikompaun (kerana ingkar SOP COVID-19).
"Ini menunjukkan, masih ada warga kita yang belum sedar atau sengaja buat tak sedar," tegasnya pada Khamis lalu.
Jelasnya lagi, majoriti individu yang dikompaun adalah disebabkan berkumpul secara beramai-ramai tanpa memakai pelitup muka, tidak menjaga penjarakan fizikal dan membahayakan diri dengan melakukan aktiviti di kawasan banjir.
Shafien juga menegaskan bahawa kompaun akan terus dikenakan kepada individu yang gagal mematuhi SOP. 




"Bayaran kompaun RM1,000 itu tinggi sebenarnya. Jadi, lebih baik duit itu disimpan, diguna sebaik mungkin, untuk kehidupan harian.
"Senang saja hendak jaga SOP, pakai topeng, duduk jarak jauh-jauh, cuci tangan. Tempat-tempat yang ramai orang, jangan pergi kalau tak perlu," tambahnya.
Baru-baru ini pada Rabu lalu, pihaknya mengeluarkan tiga lagi kompaun atas kesalahan gagal patuh SOP kepada tiga individu yang berkumpul di Tambatan Diraja Kota Bharu untuk melihat air. 
Dalam pemantauan banjir, Shafien menyatakan bahawa dron akan digunakan untuk membuat pemantauan banjir. Hal ini dapat mengurangkan risiko berbanding individu yang melakukan pemantauan. 

Post a Comment

0 Comments