PIHAK POLIS BERJAYA MENUMPASKAN SINDIKET PEMALSUAN DOKUMEN KEPUTUSAN UJIAN SARINGAN COVID-19


SEPANG: Seminggu yang lalu satu sindiket pemalsuan keputusan ujian saringan COVID-19 bagi warga asing berjaya digagalkan selepas penahanan terhadap dua lelaki warga negara Pakistan.


Asisten Komisioner Imran Abd Rahman selaku Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menyatakan kegiatan tersebut berjaya dibongkarkan pihak polis sewaktu menahan dua suspek tersebut di KLIA ketika mereka hendak pulang ke negara asal.


Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 28 dan 37 tahun itu ditahan pada 20 Januari lepas akibat menggunakan dokumen palsu berkenaan keputusan ujian saringan COVID-19 di kaunter sebelum hendak menaiki penerbangan pulang. 


Deretan dari penahanan dua lelaki tersebut, pihak polis berjaya mendapatkan maklumat dan mengesan lokasi seorang lelaki warga Pakitstan lingkungan 20-an di Telok Gong, Klang pada 22 Januari yang lepas. Suspek dipercayai merupakan ejen sindiket berkenaan. 


Menurutnya, hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan yang berusia 42 tahun, juga ejen sindiket itu di kediamannya di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.


"Hasil soal siasat terhadap dua ejen yang ditahan, polis berjaya menahan seorang warga Pakistan berusia 27 tahun pada 25 Januari di Sri Petaling."


"Suspek disyaki perancang sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian COVID-19, dikenali sebagai Gang Habib," jelasnya ketika sidang media di Bangunan Pentadbiran KLIA (AMC) pada hari ini.


Imran berkata, sindiket berkenaan disyaki beroperasi dan aktif sejak Ogos tahun lalu dengan menggunakan orang tengah bagi mendapatkan mangsa mereka dalam kalangan warga Pakistan.


Jelasnya lagi, sindiket ini menggunakan pelbagai nama hospital swasta dan makmal dengan mengenakan bayaran sebanyak RM300 kepada mangsa mereka.


"Semua suspek ditahan di IPD KLIA untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan."


"Polis memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 kerana ia membahayakan kesihatan orang ramai dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang," tegasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments