POLIS TRAFIK NAFI TUMBUK PENUNGGANG MOTOSIKAL. PIHAK BERKUASA AMBIL SERIUS




 Petaling Jaya: Seorang Anggota polis trafik membuat satu laporan berkaitan penafiannya yang mendakwa bahawa dia menumbuk seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menyatakan, seramain tujuh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melakukan satu sekatan jalan raya dari jam 8 sehingga 9 pagi tadi. 

"Dalam kejadian ini, sebuah motosikal dinaiki sepasang suami isteri warga tempatan cuba melarikan diri daripada SJR.

"Ketika melarikan diri, penunggang motosikal itu melanggar kaki seorang anggota polis bertugas sebelum dia berjaya ditahan oleh anggota yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, penunggang motosikal berkenaan dikenakan  saman atas kesalahan tidak mempunyai lesen motosikal, cukai jalan yang tamat tempoh serta tidak menggunakan lorong motosikal. 

"Semakan juga mendapati penunggang motosikal itu mempunyai 58 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

"Susulan kejadian tular itu, kami sudah mengesan anggota berkenaan dan dia ada membuat laporan menafikan kejadian terbabit. Namun, kami tetap menjalankan siasatan dari segi jenayah dan pelanggaran disiplin," tegasnya.


Beliau berkata, sehingga kini, penunggang motosikal itu masih belum membuat laporan berkaitan kejadian tersebut. 

"Kami sedang mengesan penunggang motosikal berkenaan bagi membantu siasatan. Malah, kertas inkuiri polis juga sudah dibuka dan siasatan ke atas anggota terbabit sedang giat dijalankan.

"Pendirian kami adalah tegas dan konsisten di mana apa saja salah laku pegawai serta anggota akan disiasat dengan teliti. Tindakan akan diambil dari sudut undang-undang serta tatatertib sekiranya didapati wujud kesalahan," katanya yang memaklumkan anggota polis berkenaan tidak ditahan.

Sehubungan itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azaman Sharia'at berkata, bahawa pihaknya menganggap perkara ini perlu diberi perhatian yang berat dan serius. 

"Kami akan segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kejadian sebenar dan akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu video  berdurasi 37 saat yang menunjukkan seorang anggota polis trafik dilihat bertindak agresif dengan menumbuk seorang penunggang motosikal. Video ini menjadi tular di media sosial dan mendapat kecaman daripada netizen. 

Post a Comment

0 Comments