TULAR WANITA MENCEROBOH WAD PESAKIT COVID-19: HOSPITAL TERBABIT BERIKAN PENJELASAN


MIRI: Tular baru-baru ini video klip seorang wanita yang dipercayai terlepas masuk ke wad pesakit bahagian COVID-19 untuk melawat ahli keluarganya. Kejadian ini berlaku di Hospital Miri, Sarawak. Pihak Hospital Miri telah memberikan penjelasan berikutan perkara ini. 

Melalui satu penjelasan, pihak pengurusan hospital tersebut memaklumkan bahawa insiden yang berlaku dan tular di media sosial itu adalah disebabkan kedegilan ahli keluarga pesakit yang enggan memberikan kerjasama untuk mematuhi peraturan di hospital. 

"Setelah sesi kaunseling diberikan, ahli keluarga berkenaan mengaku bahawa dia mengalami kerisauan terhadap pesakit sehingga menyebabkan tekanan emosi yang tinggi.

"Hospital ingin menjelaskan bahawa insiden ini bukan berlaku di Wad Pesakit Covid-19," Jelas kenyataan tersebut.

Berikutan kes ini, pihak pengurusan Hospital Miri memohon agar masyarakat perlu bertindak untuk tidak menyebarkan lagi video tersebut di media sosial bagi menjaga kepentingan pesakit dan ahli keluarga mereka. 

Pihak pengurusan juga memaklumkan bahawa insiden tersebut sudah pun selesai dengan adanya bantuan daripada pihak berkuasan. 

Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial yang memperlihatkan seorang wanita yang merupakan ahli keluarga pesakit bertikam lidah dengan beberapa petugas kesihatan di dalam ruang pesakit.

Dapat dilihat juga beberapa petugas kesihatan yang memakai pakaian (PPE) cuba untuk mencapai kata sepakat dengan wanita tersebut melalui penerangan berkaitan polisi hospital tersebut. 

Para petugas juga meminta wanita tersebut untuk keluar daripada ruangan itu, namun wanita itu tetap berdegil dan melawan para petugas.

Kejadian ini telah dirakam oleh seorang petugas hospital tersebut. 

"Kakitangan hospital telah bertindak untuk mengambil video dengan tujuan untuk memaklumkan kepada ketua jabatan dan rakan sekerja yang lain bagi mendapatkan bantuan."

"Kaedah rakaman video dibuat memandangkan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) telah menyukarkan komunikasi di antara kakitangan wad dengan pihak luar," jelas makluman tersebut.

Post a Comment

0 Comments