KHAIRY MINTA MAAF ATAS MASALAH TEKNIKAL DAFTAR ASTRAZENECA


KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin memohon maaf susulan masalah teknikal ketika permohonan pusingan kedua janji temu vaksin AstraZeneca yang dibuka pada Rabu.

Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjelaskan bahawa beliau akan bertanggungjawab kepada semua pihak yang mengalami masalah semasa melakukan tempahan vaksinasi AstraZeneca pusingan kedua secara atas talian.
Beliau juga berkata disebabkan oleh permasalahan ini, para pemohon sangat kecewa akibat kelemahan sistem yang dihadapi.
"Saya tidak menafikan pengalaman pengguna atau user experience yang dilalui menyebabkan ramai kecewa akibat kelemahan sistem untuk memproses permintaan tinggi dengan cekap. Ia sepatutnya boleh dibuat dengan lebih baik."
"Ia sepatutnya berjalan dengan lebih baik. Sebagai contoh, ada tarikh dipaparkan di skrin menunjukkan warna kelabu dan bukan lagi hijau, menyebabkan pengguna menekan tanpa henti hanya untuk diberitahu slot tempahan telah penuh," katanya dalam sidang media pada Khamis."
Dalam pada itu jelasnya, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) sedang melakukan penambahbaikan untuk mengenal pasti punca, kelemahan dan masalah sehingga menyebabkan sistem tersebut tidak dapat diakses dan memudahkan pemohon.
"Mampu telah memulakan siasatan berhubung masalah ini selepas tempahan ditutup semalam."
"Siasatan ini akan kenal pasti masalah berkaitan serta akan mengatasinya untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Pemohon vaksin COVID-19 AstraZeneca fasa pertama pada 2 Mei lalu turut mengalami masalah teknikal yang sama ketika awal pendaftaran, seperti memilih lokasi PPV dan tarikh janji temu.
Fasa kedua melibatkan lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di lima buah negeri, termasuk Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.
JKJAV sebelum ini memaklumkan pemberian suntikan bagi pusingan kedua inisiatif ini akan dimulakan pada 7 Jun sehingga 27 Julai.

Post a Comment

0 Comments